Al kisah, bertembung 2 angin dari arah berlainan di langit. Angin Barat berkata kepada Angin Timur "Lajunya kamu bergerak tadi tapi tak mungkin selaju aku".
Angin 2 merasa sedikit tercalar ego.
Maka berlaku cabar mencabar antara mereka. Awan yang kebetulan berada berdekatan sudah lama memerhati gelagat Angin Barat dan Angin Timur. Suara Angin semakin kuat, Awan hilang sabar.
"Bisingnya kamu berdua. Aku nak cadang satu cara untuk menentukan siapa antara kamu yang lebih kuat"
Angin Barat dan Angin Timur berhenti dari bertengkar.
"Wahai Awan sila cadangkan caranya" ujar Angin Timur.
"Begini, dari tadi aku melihat ada seekor katak di atas sebatang pokok pisang. Lama katak di situ tanpa bergerak".
Awan bersuara, yakin dia sudah menarik perhatian Angin.
"Siapa antara kamu yang boleh jatuhkan katak itu, maka dialah yang kuat".
Angin Barat dan Angin Timur berpandangan. Kemudian berkata serentak kepada Awan.
"kami setuju".
Angin Barat meluru ke arah katak yang sedang berehat di batang pisang dan dengan sekuat tenaga yang ada meniup ke arah katak. Katak terkejut, ketenangannya terganggu. Dia berpaut kuat pada batang pisang. Makin kuat Angin Barat meniup, makin kuat pautan katak. Akhirnya Angin Barat rasa letih dan berhenti meniup.
Angin Timur yang memerhati dari tadi menuju ke arah katak yang kelihatan cemas. Angin Timur mengelilingi pokok pisang. Ditiupnya lembut katak. Katak terlentuk lentuk mengantuk. Pautan katak mula longgar dan lemah. Angin Timur meniup sekali lagi dan katak terkulai jatuh.
Angin Barat merasa marah kerana ternyata sudah kalah. Lalu ia berlalu pergi.
Awan tersenyum dan berkata kepada Angin Timur..."Sungguh bijak kamu. Benarlah bagai dikata, akal mengatasi kekuatan"
Angin Timur membalas senyuman Awan dan terus berlalu.
(Cerita ini dibaca berdekad dekad yang lalu, sudah tidak ingat dari sumber mana. Cerita rakyat, dongeng rakyat yang ada pengajaran jika difikir fikirkan)
Singgah sini kak zai
ReplyDeletesila2..kak zai kadang2 tak baca komen.
Delete